Monday, June 24, 2013

Jerebu: Indonesia Boleh Ambil Tindakan Jika Syarikat Malaysia Terlibat

Jerebu: Indonesia Boleh Ambil Tindakan Jika Syarikat Malaysia Terlibat
Sumber : peraktoday

KUALA LUMPUR: Kerajaan Indonesia boleh mengambil tindakan undang-undang jika pihak berkuasa negara itu mendapati syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Malaysia terlibat dengan sebarang pembakaran terbuka di kawasan ladang kelapa sawit di Riau.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, undang-undang Malaysia tidak boleh dikenakan kepada syarikat yang didapati terlibat kerana kesalahan berkenaan dilakukan di negara seberang.

“Jika ada salah, Indonesia boleh ambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Undang-undang kita tak boleh dikuatkuasakan di sana,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Bagaimanapun menurut Palanivel, beliau akan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut sewaktu kunjungannya ke Indonesia Rabu ini.

“Tapi ada di kalangan syarikat berkenaan mengatakan mereka tiada kaitan.

“Namun kita tetap akan jumpa dan kenal pasti jika berlaku perbuatan yang salah,” katanya.

Palanivel dijadual akan bertemu rakan sejawatannya di Indonesia pada Rabu bagi membincangkan cara untuk menangani situasi jerebu yang melanda beberapa negeri di Malaysia dan Singapura.

Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk mewujudkan pembenihan awan di sana.

-mStar

Pembakaran terbuka di Riau bukan perbuatan syarikat Malaysia
Sumber : bharian

JAKARTA: Syarikat-syarikat Malaysia tidak terbabit dengan sebarang pembakaran terbuka di kawasan ladang sawit di Riau, yang sudah menjejaskan dengan teruk kualiti udara di sebahagian wilayah di Semenanjung Malaysia dan Singapura, kata Persatuan Pelabur Perladangan Malaysia di Indonesia (Apimi).

Setiausaha Eksekutif Apimi Nor Hazlan Abdul Mutalib berkata walaupun ada kejadian pembakaran terbuka dalam kawasan ladang sawit milik syarikat dari Malaysia, ia dilakukan oleh pekebun kecil di kawasan tanah yang mereka usahakan sendiri.

"Ingin saya maklumkan bahawa di dalam ladang milik syarikat Malaysia (Inti- atau pemilik ladang) telah diperuntukkan sebanyak 20 peratus untuk masyarakat di sekitar ladang Inti yang dimiliki oleh syarikat Malaysia itu.
"Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat untuk melakukan pembakaran terbuka untuk kegiatan penanaman semula tanaman mereka," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar Indonesia Balthasar Kambuaya yang mengatakan bahawa lapan syarikat Malaysia adalah antara 14 syarikat dikenal pasti terlibat dalam kejadian pembakaran terbuka di kawasan ladang mereka di Riau.

Nor Hazlan berkata pihak syarikat Inti tidak mempunyai kuasa untuk menahan masyarakat pekebun kecil daripada melakukan pembakaran terbuka dan apa yang dapat mereka lakukan ialah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan tentang kegiatan itu supaya tuduhan tidak dikenakan ke atas mereka.

"Namun demikian, apabila telah berlaku pembakaran itu, pihak Inti masih menghulurkan bantuan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan kebakaran dari terus merebak ke tempat lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa bukan semua lapan syarikat yang dinyatakan oleh menteri Indonesia itu adalah milik syarikat pelabur Malaysia kerana ada juga syarikat yang dimiliki pelabur dari negara lain.

Nor Hazlan berkata syarikat Malaysia yang mengusahakan ladang sawit di kawasan terbabit adalah anggota Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang melarang keras pembakaran terbuka dalam kegiatan penanaman semula, sebaliknya RSPO mementingkan alam sekitar dan amalan perladangan yang mesra alam.

"Sekiranya mereka melakukan kegiatan pembakaran terbuka, sijil RSPO yang dimiliki oleh mereka akan ditarik balik. Sijil ini adalah amat penting bagi syarikat-syarikat ini kerana tanpanya mereka tidak dapat menjual minyak sawit ke pasaran Eropah," katanya.

Nor Hazlan berkata sebagai anggota RSPO, kegiatan penanaman semula yang diamalkan ialah menerusi kaedah pemotongan dan pembersihan menggunakan traktor dan sebahagian daripada bahan yang dipotong seperti pelepah sawit digunakan semula untuk tanah di ladang itu sebagai baja.

Pada tahun ini, tidak ada sebarang kegiatan tanaman semula di ladang-ladang sawit milik syarikat dari Malaysia, katanya.

Pihak Sekretariat Apimi, katanya pada setiap awal tahun memberi peringatan melalui "APIMI Bulletin" kepada semua anggota persatuan itu tentang permasalahan kebakaran yang sering berlaku di dalam ladang sawit.

Antara lainnya ia mengesyorkan langkah-langkah yang patut mereka ambil jika berlaku kebakaran di dalam kawasan ladang milik mereka, yang tidak dimulakan oleh mereka, katanya. - BERNAMA

** P.S : Adakah ini bala dari Allah S.W.T ? mungkinkah kerana maksiat yang tiap hari meningkat dan semakin meningkat di Malaysia ?
Share:

0 comments: